Sunday, January 6, 2013

Ibu dua anak kurang upaya terima anugerah


Hazlina Hasan berkongsi kegembiraan dengan tiga anaknya, (dari kiri) Mohd. Hazwan Syarif Samsul Kamar, Ahmad Hafiz Abhar Samsur Kamar, 6, dan Hazman Shahir Samsul Kamar selepas menerima Anugerah Khas Ibu Cemerlang dari MAIM di Yayasan Melaka, baru-baru ini. 

MELAKA 3 Julai - Ibu empat anak, Hazlina Hasan, 40, menerima Anugerah Khas Ibu Cemerlang daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) setelah berjaya menjaga dan mendidik dua anaknya yang kurang upaya yang turut menerima anugerah pelajar cemerlang.

 

Hazlina serta dua anaknya, Hazman Shahir Samsul Kamar, 16, dan Mohd. Hazwan Syarif Samsul Kamar, 13, diberi pengiktirafan pada majlis yang diadakan di Yayasan Melaka di Ayer Keroh di sini baru-baru ini.

 

"Syukur, sebagai ibu sudah menjadi tanggungjawab saya mengurus serta mendidik anak-anak. Apa yang saya lakukan sama seperti ibu-ibu lain di mana sambil menguruskan anak saya berusaha memberi mereka pendidikan.

 

"Cuma, mungkin ibu-ibu lain yang mempunyai anak kurang upaya tidak tahu bagaimana hendak memulakannya.

 

"Namun bagi saya selain tawakal kepada Allah kita perlu memohon agar kehidupan dapat berubah kepada yang lebih baik," katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

 

Anugerah disampaikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

 

Hazman memperoleh keputusan 5A 3B 1C dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) manakala Mohd. Hazwan memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu.

 

Hazlina yang merupakan seorang peniaga di Medan Selera Durian Tunggal turut menjaga dua lagi anaknya, Hazimah Syazwani Samsul Kamar, 15, dan Ahmad Hafiz Abhar Samsur Kamar, 6.

 

Hazman dan Mohd. Hazwan adalah antara 142 pelajar yang terdiri daripada anak-anak penerima bantuan MAIM yang diiktiraf atas kecemerlangan akademik pada majlis itu.

 

Mohd. Ali yang juga Pengerusi MAIM berkata, sebanyak RM34,000 diperuntukkan sebagai sumbangan kepada 142 pelajar yang menerima anugerah.

 

Kesemua penerima anugerah terdiri daripada 127 anak-anak fakir dan miskin, lapan anak mualaf dan tujuh anak yatim. 

Sumber: Utusan Malaysia 04 Julai 2012

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails